PERUTUSAN PENGARAH
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,
Selamat datang diucapkan kepada pengunjung Laman Web Rasmi Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka.
Sebagai agensi teknikal utama kerajaan, JKR Melaka memikul amanah besar dalam memastikan perancangan, pelaksanaan serta penyelenggaraan projek infrastruktur dan kemudahan awam di negeri ini dijalankan dengan cekap, berkualiti dan berintegriti. JKR bukan sekadar pelaksana projek, malah berperanan sebagai penasihat teknikal kepada kerajaan negeri dalam aspek reka bentuk, penilaian, serta pemantauan projek-projek pembangunan. Dengan berbekalkan pengalaman, kepakaran serta semangat kerja berpasukan, JKR Melaka terus memainkan peranan penting dalam pembangunan negeri melalui pelaksanaan projek-projek pembangunan dan pengurusan fasiliti yang efisien.
Dengan adanya medium laman web rasmi ini, penyampaian maklumat rasmi berkaitan projek, dasar, perkhidmatan dan aktiviti jabatan dapat disalurkan kepada para pengunjung dari semasa ke semasa. Ia juga merupakan usaha ke arah meningkatkan ketelusan dan keterbukaan dalam penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Kami mengalu-alukan sebarang aduan, cadangan dan pandangan yang bernas untuk disalurkan kepada kami demi menambahbaik perkhidmatan yang diberikan bagi membolehkan JKR Melaka menjadi sebuah jabatan yang sentiasa mampan sejajar dengan perkembangan teknologi dan kehendak semasa.
Saya amat menghargai dedikasi dan profesionalisme seluruh warga JKR Melaka yang terus berusaha memastikan setiap amanah dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan ketekunan. Kepercayaan yang diberikan oleh kerajaan dan rakyat merupakan pendorong utama kami untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik.
Sekian, terima kasih.
“MELAKAKU MAJU JAYA, RAKYAT BAHAGIA, MENGGAMIT DUNIA”
“BIJAK LAKSANA TUAH, BERANI LAKSANA JEBAT”
“MALAYSIA MADANI”
“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”
YBrs. TUAN Ir. Hj. MOHAMAD SALZELI BIN MOKTAR,
PENGARAH JKR MELAKA.